
KANOWIT – Agenda perpaduan dan pembangunan luar bandar terus diberi penekanan menerusi penyaluran peruntukan sebanyak RM8,000 bagi memperkasakan komuniti di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan kemajuan masyarakat setempat sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya.
Menurut beliau, usaha itu dizahirkan menerusi penganjuran Program Bersama Penduduk Setempat serta Perasmian Landskap dan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Brain Langit, pada Sabtu.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat kerana berjaya menganjurkan program yang bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah membuka ruang perbincangan berkaitan pembangunan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Dalam pada itu, Anyi menegaskan agar konsep ‘Segulai Sejalai’ (seiring sejalan) tidak sekadar menjadi laungan semata-mata, sebaliknya wajib diamalkan dalam setiap aspek kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah selagi tiada pengesahan rasmi daripada kepimpinan tertinggi negeri.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk diharap dapat menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah setempat.
“Masyarakat boleh mengemukakan sebarang isu berbangkit menerusi Program Jelajah KMKK bersama Pegawai Daerah Kanowit yang akan dilaksanakan di setiap kawasan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai peruntukan RM8,000 tersebut, ia disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Brain, berserta keutamaan pelaksanaan Projek RTP sebagai sokongan berterusan terhadap pembangunan landskap luar bandar.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Stephen William; Pegawai Tadbir Daerah Kanowit, Clinton Jelai dan Penghulu Lembat.



