
SARATOK – Tindakan sekumpulan individu menjadikan sebuah kawasan tanah lapang di dalam ladang sawit di Jalan Awik, di sini sebagai ‘port’ bermain judi ‘Holo’ mengundang padah apabila diserbu polis pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, serbuan di bawah Op Limau itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada jam 2.20 petang.
Menurutnya, ketika pihak polis tiba di lokasi kejadian, kumpulan terbabit yang leka mengelilingi sebuah meja bertempiaran lari ke dalam kawasan ladang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan serbuan bertindak pantas mengejar kumpulan terbabit dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati aktiviti perjudian itu dipercayai telah lama bermula sebelum sebahagian daripada mereka sempat melarikan diri dan meninggalkan peralatan judi.
“Susulan penahanan pemuda beralamat di Taman Malihah, Kuching itu, polis merampas pelbagai peralatan termasuk satu unit kong Holo, sehelai kain putih tertera gambar animasi berunsur perjudian, dua biji dadu, sebuah kerusi plastik dan meja papan serta wang tunai berjumlah RM560,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mathew, suspek berserta kesemua barang kes telah dibawa ke IPD Saratok untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.







