PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, pada Isnin bukan sekadar reformasi perubahan struktur.
Sebaliknya, Ahli Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, iltizam kerajaan digambarkan sebagai satu komitmen nasional untuk memastikan sistem keadilan kekal bebas, telus dan berwibawa demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berpandangan, kerajaan juga perlu memastikan kejelasan termasuk garis panduan pelantikan, tempoh jawatan dan perlindungan kebebasan institusi Pendakwa Raya.
“Saya menyambut baik cadangan RUU ini bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai satu langkah reformasi institusi yang amat penting demi memperkukuh integriti sistem keadilan negara.
“Diharapkan RUU berkenaan dibentang, dibahaskan dan diluluskan dengan teliti serta disertai mekanisme pelaksanaan yang jelas,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Dalam pada itu, Lam Thye berpandangan, RUU terbabit wajar dilaksanakan bagi memastikan keputusan untuk mendakwa atau tidak mendakwa dapat dibuat secara bebas tanpa sebarang persepsi campur tangan eksekutif.
“Pada masa sama, selepas ini Peguam Negara bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, manakala Pendakwa Raya menentukan tindakan jenayah terhadap individu atau pihak tertentu,” katanya.

Apabila menggabungkan kedua-dua peranan, beliau yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat tidak menolak bahawa keadaan itu boleh menimbulkan konflik kepentingan, terutama dalam kes melibatkan kepentingan kerajaan.
“Ia juga akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan yang bebas dan telus sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi perundangan dan penguatkuasaan. Pengasingan kuasa ini memberi isyarat jelas bahawa keadilan dilaksanakan tanpa pilih kasih.
“Dalam pada itu, banyak negara demokrasi maju telah memisahkan fungsi ini bagi memastikan prinsip semak dan imbang berfungsi dengan berkesan. Malaysia juga harus bergerak seiring dengan standard tadbir urus terbaik di peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, langkah ini menegaskan bahawa undang-undang mengatasi kepentingan mana-mana pihak dan bahawa pendakwaan jenayah adalah proses profesional yang berlandaskan bukti dan fakta semata-mata,” katanya.








