
KOTA KINABALU – Sabah menyambut ketibaan kira-kira 1,800 pelancong antarabangsa dan domestik menerusi dua pintu masuk utama sekali gus memperkukuh momentum ke arah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, program sambutan khas itu diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau sebagai simbol komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pelancongan.
“Kira-kira 400 pelancong telah tiba di Tawau pada sebelah pagi melibatkan penerbangan dari China termasuk Shanghai serta pelancong tempatan.

“Di KKIA pula, kita menjangkakan seramai 1,400 pelancong tiba hari ini menerusi penerbangan antarabangsa dari Singapura dan Incheon, Korea Selatan, selain penerbangan domestik.
“Jumlah ini menunjukkan keyakinan berterusan pelancong luar terhadap Sabah sebagai destinasi pilihan, khususnya sempena musim perayaan,”katanya dalam sidang media semasa Program Sambutan Tahun Baharu Cina sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di sini pada Selasa.
Menurutnya, Sabah mempunyai dua pintu masuk udara utama bagi kemasukan pelancong antarabangsa iaitu Kota Kinabalu dan Tawau, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
“Penganjuran program tersebut bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu Cina hari ini, sekali gus mencerminkan kepelbagaian etnik serta keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Kita bukan sahaja menyambut pelancong dengan acara simbolik, tetapi mahu mereka merasai sendiri keramahan dan kemesraan rakyat Sabah yang terkenal dengan layanan baik terhadap tetamu.
“Perayaan ini juga memperlihatkan keunikan budaya dan keharmonian kaum yang menjadi kekuatan Sabah sebagai produk pelancongan,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang sedang dipromosikan secara agresif di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia serta semua pihak industri yang terlibat dalam memastikan inisiatif ini dapat diteruskan.
“Usaha bersepadu ini penting bagi memastikan Sabah kekal sebagai salah satu pusat dan destinasi pelancongan utama negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, program sambutan tersebut dilihat bukan sekadar meraikan ketibaan pelancong, malah menjadi isyarat jelas bahawa industri pelancongan Sabah terus pulih dan berkembang, sejajar dengan sasaran peningkatan ketibaan pelancong menjelang 2026.





