Kerajaan tidak akan berkompromi isu perkauman – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum demi memastikan keamanan negara terus terpelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan nasional sentiasa menjadi cabaran utama, khususnya apabila timbul sentimen yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Anwar berkata, perkara itu bukan isu baharu kerana sejak era sebelum kemerdekaan, pemimpin terdahulu termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein sudah berulang kali mengingatkan rakyat mengenai kepentingan persefahaman serta kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Jika kita mahu berjaya, kita mesti menerima bahawa wujud masalah dan perbezaan, tetapi kita perlu berusaha menyelesaikannya sebagai satu masyarakat yang besar, sebagai satu keluarga rakyat Malaysia yang bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; serta Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.

Pada majlis sama, Perdana Menteri memberi jaminan Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha memastikan setiap kaum di negara ini menikmati keamanan, keselesaan dan peluang kejayaan yang saksama.

Beliau berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang melambangkan Tahun Kuda tahun ini membawa simbol ketahanan, kekuatan dan kecekalan, sekali gus memberi isyarat positif kepada perkembangan negara.

Jelasnya, pencapaian ekonomi yang memberangsangkan kebelakangan ini adalah hasil kesepakatan dan sumbangan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Kita lihat angka tahun lalu dan terakhir ini, ternyata kita catat kemajuan yang jauh membanggakan. Ini kerana kerjasama semua pihak, semua rakyat dan kaum, daripada orang politik, penjawat awam, peniaga, pedagang, penjaja, semua ada sumbangan.

“Pertama, negara ini aman. Keduanya, kita ada satu semangat muafakat bersama dan ketiganya, kita kerja. Tidak ada ada negara yang boleh berjaya kalau kita gaduh-gaduh terus, tidak fokus dalam kerja kita dan tidak ada semangat bekerjasama, tolak ansur, angkat semua kaum, agama dan lapangan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Cina yang disifatkan sebagai antara tonggak penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, meneliti keperluan pemuliharaan bangunan Dewan KLSCAH yang hampir mencecah usia satu abad.

“Bangunan ini mempunyai keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan. Jangan bimbang mengenai status tanah ini, kita adalah masyarakat yang mengambil berat dan kita juga mahu memulihara warisan ini,” katanya.

Ketika ditemui selepas majlis berkenaan, beliau menggesa rakyat supaya menangguhkan polemik tidak berfaedah dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan sempena sambutan perayaan.

“Selamat Tahun Baharu Cina. Tenang, kita sambut tahun baharu dan tumpu soal perpaduan, bergembira. Masalah-masalah lain kita tangguh berapa hari, OK?” katanya.

Related Posts

Isu pemilihan Undang Luak Rembau bermula dari akar umbi, bukan campur tangan Tuanku Muhriz

REMBAU – Isu pemilihan Undang Luak Rembau Ke-22 sebenarnya bermula daripada pertikaian di peringkat akar umbi institusi adat Rembau sendiri dan bukannya berpunca daripada campur tangan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Belanjawan Sarawak 2027: Abang Jo beri bayangan berita gembira, tarif elektrik kekal

MUKAH – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan awal bahawa Belanjawan Sarawak 2027 yang bakal dibentangkan pada 12 Oktober depan akan terus mengukuhkan kedudukan kewangan negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Isu pemilihan Undang Luak Rembau bermula dari akar umbi, bukan campur tangan Tuanku Muhriz

Isu pemilihan Undang Luak Rembau bermula dari akar umbi, bukan campur tangan Tuanku Muhriz

Belanjawan Sarawak 2027: Abang Jo beri bayangan berita gembira, tarif elektrik kekal

Belanjawan Sarawak 2027: Abang Jo beri bayangan berita gembira, tarif elektrik kekal

Pewartaan Tanah Rizab Melayu: Pencapaian MADANI, legasi untuk Belanjawan 2027

Pewartaan Tanah Rizab Melayu: Pencapaian MADANI, legasi untuk Belanjawan 2027

Pahang buru bakat baharu sepak takraw, termasuk anak Orang Asli

Pahang buru bakat baharu sepak takraw, termasuk anak Orang Asli

Belanjawan 2027: Kebajikan mahasiswa diberi perhatian – PM

Belanjawan 2027: Kebajikan mahasiswa diberi perhatian – PM

Generasi muda perlu berani bersuara, tolak rasuah dan salah guna kuasa – PM

Generasi muda perlu berani bersuara, tolak rasuah dan salah guna kuasa – PM