
TAMBUNAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan rentung dalam satu kejadian kebakaran yang melibatkan dua buah rumah di Kampung Patau, di sini, awal pagi Selasa.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Tony Sipin berkata, kejadian kira-kira pukul 4.08 pagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan tiba di lokasi pada pukul 4.26 pagi, dengan jarak perjalanan sejauh 16 kilometer (km).
“Kebakaran tersebut melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal serta tiga buah kenderaan, iaitu sebuah Toyota Avanza, van dan Perodua Alza, yang semuanya musnah terbakar.
“Rumah pertama berkeluasan 40 x 50 kaki persegi terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua dengan keluasan sama terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman yang dikawal pada pukul 4.40 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.00 pagi.
Tambahnya, terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian tersebut, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui rentung di dalam sebuah bilik dan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun, mengalami kecederaan ketika menyelamatkan diri daripada kebakaran dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.




