
SARATOK – Seorang wanita berusia 47 tahun ditahan polis selepas dipercayai mendera anak angkatnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Kim Hin, di sini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 7 Februari 2026 daripada seorang guru sekolah yang bimbang terhadap keselamatan kanak-kanak terbabit.
Menurut beliau, mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan kejadian dipercayai berlaku pada 5 Februari lalu sekitar jam 6.30 petang di kediaman mereka.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras serta ditampar di bahagian muka oleh ibu angkatnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menjelaskan, pengadu menerima satu rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang guru sekolah mangsa yang juga jiran suspek. Video tersebut memaparkan bunyi serta tangisan mangsa yang dipercayai sedang dipukul.
Pemeriksaan ke atas mangsa pada keesokan hari mendapati terdapat kesan lebam di pipi kanan selain calar pada bahagian dahi dan belakang badan. Mangsa turut memaklumkan dia sering menjadi mangsa penderaan sejak kira-kira setahun lalu.

Mathew berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok sebelum dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut, dan pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian muka serta belakang badan.
“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan ibu angkat dan penjaga sah mangsa sejak mangsa berusia tiga tahun,” katanya.
Suspek ditahan di Jalan Bunga Raya, Saratok dan mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Polis turut merampas seutas hos berwarna kuning yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Tambah beliau, kejadian dipercayai tercetus akibat pertengkaran apabila mangsa bertanyakan mengenai persiapan untuk menghadiri kelas tuisyen, sebelum suspek bertindak memukul dan menampar kanak-kanak berkenaan.
Polis akan memohon perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Kes kini diklasifikasikan sebagai selesai selepas penahanan suspek.



