
SRI AMAN – Padah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dua lelaki warga tempatan ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Dennis Bunyan berkata, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8.45 pagi hasil risikan dan operasi bersepadu.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan lanjut turut mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah seksyen yang sama.
“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dennis menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah dadah.
“Justeru, kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala ini demi keselamatan komuniti setempat,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Sri Aman di talian 083-322121.








