
PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) walaupun mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, susulan kegagalan Pas mencapai kata sepakat mengenai calon pengganti daripada parti itu.
Utusan Malaysia, memetik sumber Pas, melaporkan parti Islam berkenaan berdepan kebuntuan dalam menentukan calon untuk mengambil alih jawatan Pengerusi PN, sekali gus melengahkan proses peralihan kepimpinan yang sebelum ini ingin diterajui Pas.
Menurut sumber itu, kelewatan Pas mengemukakan calon memberi persepsi negatif seolah-olah parti berkenaan tidak mempunyai tokoh yang layak memimpin gabungan itu.
“Sebelum ini kami sangat tegas mahu menerajui PN. Muhyiddin sudah meletakkan jawatan, namun kini kami pula perlahan mengambil alih jawatan itu.
“Akhirnya, kami menjangkakan Muhyiddin akan terus memimpin PN. Pas gagal bertindak secara tegas dalam isu ini dan keadaan itu amat mengecewakan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan hasrat parti itu untuk menuntut jawatan Pengerusi PN, namun beliau dikatakan menolak untuk menggalas tanggungjawab berkenaan atas faktor kesihatan.
Antara tokoh Pas yang disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.
Bagaimanapun, pencalonan Samsuri berdepan tentangan dalam kalangan tertentu dalam Pas yang berpandangan jawatan berkenaan wajar disandang pemimpin daripada kelompok ulama, memandangkan Samsuri lebih dilihat sebagai tokoh teknokrat dalam parti.
Sumber Pas itu turut memaklumkan hasrat parti berkenaan menerajui PN boleh semakin sukar sekiranya MIC menyertai gabungan itu, memandangkan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) tidak cenderung kepada Pas memegang jawatan pengerusi.
“Sebab itu kami perlu bertindak secara tegas dan bijaksana jika mahu memimpin PN. Jika tidak, Bersatu akan terus berada di tempat pemandu walaupun Pas menyatakan hasrat mengambil alih kepimpinan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin sebelum ini menyatakan kesediaannya menyerahkan jawatan Pengerusi PN kepada Pas, namun menegaskan pendirian Bersatu bahawa pengerusi baharu PN seharusnya terdiri daripada presiden parti komponen.
Selain Muhyiddin dan Abdul Hadi, hanya dua lagi presiden parti dalam PN, iaitu Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi menafikan Muhyiddin akan terus kekal sebagai Pengerusi PN, sebaliknya menegaskan Pas sudah mempunyai calon untuk mengambil alih jawatan itu.
“Pas sudah mempunyai calon bagi jawatan Pengerusi PN,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Bagaimanapun, beliau berkata masih belum menerima jemputan mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik pengganti, yang disifatkannya sebagai isu pentadbiran.
Beliau menambah, Pengerusi PN yang baharu mungkin diumumkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.





