
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan berlaku kesilapan terjemahan titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 semalam, oleh China Press.
Kesilapan itu didakwa disiarkan secara dalam talian oleh akhbar berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, susulan aduan rasmi dikemukakan oleh orang awam, pihak MCMC sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Seksyen itu merujuk kepada kesalahan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang berpotensi menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Sekiranya terdapat laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan isu sama, siasatan akan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia dan mereka boleh menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Media Malaysia (MMM) turut digesa memainkan peranan sebagai badan bebas dalam memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan bertanggungjawab dan tepat.
Selain itu MMM juga perlu berfungsi sebagai platform pengawalseliaan kendiri bagi menangani aduan dan isu berkaitan media secara profesional serta berintegriti.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan komen melampau atau bersifat fitnah, khususnya di media sosial.
“Selain itu, semua pihak diminta menghormati institusi Raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” jelasnya.






