
KEMAMAN – Budak lelaki berusia lima tahun maut selepas tercekik rambutan di rumahnya di FELDA Neram 1, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, budak itu meninggal dunia di Hospital Kemaman, sekitar jam 2.50 petang.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang memakan rambutan yang dikupas kakaknya berusia enam tahun.
“Ketika sedang makan, secara tiba-tiba suara mangsa dikatakan tersekat-sekat kerana buah rambutan tercekik di kerongkong,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Mohd Razi berkata, keluarga mangsa mengejarkannya ke klinik kesihatan berhampiran.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal.
“Bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tercekik dan terdapat buah rambutan pada kerongkong,” katanya.






