
SARIKEI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Cawangan Sarikei memeriksa sebanyak 164 kenderaan dalam Ops Khas Back to School (BTS) dan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan yang dijalankan pada Isnin.
JPJ Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan menerusi rondaan di sekitar bandar Sarikei serta penguatkuasaan secara statik di Kilometer 42, Jalan Sarikei–Sibu.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya termasuk tiada lesen memandu dan kenderaan tiada nombor pendaftaran.
“Turut dikesan adalah kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta ketidakpatuhan aspek teknikal kenderaan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Jelas kenyataan itu lagi, tindakan saman telah diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.


