Subsidi bersasar MADANI lebih berkesan tangani tekanan kos sara hidup

KERAJAAN MADANI memilih pendekatan penyampaian subsidi secara bersasar sebagai langkah lebih realistik bagi membantu isi rumah berdepan peningkatan kos sara hidup, berbanding mekanisme penyeragaman harga sepenuhnya mengikut pasaran.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa subsidi dianggap tidak efisien, kerajaan berpandangan instrumen itu masih relevan sekiranya diurus secara berdisiplin dan disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Menurut beliau, penyelarasan subsidi seperti elektrik dan bahan api dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan sebenar rakyat, bukan semata-mata berdasarkan cadangan pakar ekonomi atau institusi antarabangsa seperti Bank Dunia yang menyarankan subsidi hanya diberikan kepada golongan miskin.

Katanya, subsidi tidak wajar dilihat sebagai beban semata-mata, sebaliknya menjadi mekanisme penting dalam melindungi kebajikan isi rumah sekiranya ditadbir dengan kaedah yang lebih cekap dan telus.

“Isunya bila dilaksanakan subsidi pukal (blanket subsidy) ia menyebabkan banyak ketirisan contohnya bila minyak diseludup merentasi sempadan, ” katanya memetik laporan Bernama.

Mengulas pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI dan BUDI 95, Johan berkata, langkah itu bukan sahaja mengurangkan ketirisan subsidi, malah penjimatan yang diperoleh membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana kepada majoriti rakyat melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata, penyusunan semula subsidi memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk memperkukuh bantuan sosial tanpa menambah beban kewangan negara secara berlebihan.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 Oktober lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa tindakan berani kerajaan dalam melaksanakan penyasaran serta penstrukturan semula subsidi telah menghasilkan penjimatan besar dengan jumlah keseluruhan mencecah RM15.5 bilion.

Sementara itu, mengulas implikasi inflasi hasil penyaluran SARA dan STR, Johan menegaskan langkah berkenaan tidak mewujudkan tekanan inflasi yang ketara terhadap pasaran.

Sebaliknya, katanya, kaedah bersasar membolehkan kerajaan mengekalkan kadar inflasi di bawah dua peratus, sekali gus membuktikan bahawa program subsidi tidak mencetuskan kenaikan harga barangan secara menyeluruh.

“Langkah ini menunjukkan bahawa subsidi bersasar bukan sahaja dapat membantu rakyat yang memerlukan, malah menyokong kestabilan harga dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Johan menjelaskan bahawa pendekatan Malaysia berbeza berbanding beberapa negara lain yang memilih untuk menaikkan harga ke paras pasaran sebelum menyalurkan bantuan tunai.

Katanya, Kerajaan MADANI menggunakan kaedah penyasaran secara langsung bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan rentan tanpa menjejaskan kestabilan harga dan kesejahteraan ekonomi negara.

Related Posts

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu petang ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah. Ketibaan Perdana Menteri di Terminal 2,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri menjawab persoalan berkaitan integriti dan beberapa isu yang didakwa masih belum mendapat penjelasan tuntas. Akmal berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO