PBB kutuk Rejim Zionis ceroboh UNRWA

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Khamis mengecam keras tindakan Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, susulan apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan menyalahi undang-undang ke atas premis Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), selain arahan penutupan sebuah pusat kesihatan utama.

Jurucakap beliau, Farhan Haq, dalam satu kenyataan berkata, Guterres mengutuk keras kemasukan pihak berkuasa Israel pada 12 Januari lalu ke atas harta milik PBB, iaitu Pusat Kesihatan UNRWA Jerusalem, serta arahan penutupan sementara kemudahan itu, lapor Anadolu.

Menurut kenyataan berkenaan, Guterres turut menyuarakan kebimbangan serius selepas UNRWA dimaklumkan bahawa pembekal utiliti akan menghentikan bekalan elektrik dan air ke beberapa kemudahan agensi itu di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Mengulas lanjut, Haq mengingatkan Israel mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang perlu dipatuhi.

Kenyataan itu turut merujuk kepada rampasan Kompleks Sheikh Jarrah milik UNRWA, dengan memaklumkan bahawa pada 8 Januari 2026, Guterres telah menyampaikan kebimbangan serius beliau kepada Perdana Menteri Israel serta membawa isu itu kepada perhatian Presiden Perhimpunan Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan.

“Tindakan pihak berkuasa Israel merupakan pelanggaran terhadap kekebalan premis PBB dan menghalang pelaksanaan mandat jelas Perhimpunan Agung PBB bagi memastikan UNRWA terus beroperasi di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Guterres menggesa kerajaan Israel supaya segera memulangkan dan memulihkan Kompleks Sheikh Jarrah serta Pusat Kesihatan UNRWA Jerusalem, selain memastikan bekalan utiliti asas ke semua premis UNRWA diteruskan tanpa gangguan.

Terdahulu, susulan undang-undang yang diluluskan Knesset pada 31 Disember 2025, pihak berkuasa Palestin melaporkan bahawa kerajaan Israel mula mengeluarkan arahan pemotongan bekalan air dan elektrik ke bangunan UNRWA di Baitulmaqdis Timur.

Pada 2024, Knesset meluluskan undang-undang yang mengharamkan aktiviti UNRWA di Israel, dengan alasan dakwaan penglibatan segelintir kakitangan agensi itu dalam peristiwa 7 Oktober 2023, yang dinafikan UNRWA.

PBB menegaskan UNRWA mematuhi prinsip berkecuali yang ketat, manakala agensi itu ditubuhkan lebih 70 tahun lalu oleh Perhimpunan Agung PBB bagi membantu rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan tanah air mereka.

Related Posts

Arab Saudi sambut ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji, umrah sepanjang 2025

JEDDAH – Program Pengalaman Jemaah Arab Saudi mencatatkan pencapaian utama dalam meningkatkan perkhidmatan untuk jemaah dan penziarah pada 2025, dengan menyambut ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Trump harap penyelesaian diplomatik rungkai konflik AS-Iran

WASHINGTON – Rundingan damai baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan bermula esok, kata Presiden Donald Trump, namun Tehran menafikan sebarang persetujuan ke arah itu. Trump berkata, keputusan itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

  • By Aden
  • August 4, 2026
DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa