
KEMENTERIAN Komunikasi sedang mengkaji semula kesesuaian had jumlah pengguna platform media sosial di Malaysia yang tertakluk kepada keperluan pendaftaran sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)], susulan kebimbangan terhadap keselamatan kandungan digital dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semakan itu dibuat bagi menilai kewajaran penetapan jumlah pengguna bagi setiap platform media sosial yang dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen berkenaan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, bermula 1 Januari lalu, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] menerusi pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Fahmi, langkah berkenaan diambil susulan isu terkini melibatkan AI Grok yang menjana kandungan mudarat berunsur lucah membabitkan wanita dan kanak-kanak, yang jelas menyalahi undang-undang.
Beliau berkata penetapan jumlah pengguna itu mungkin memerlukan sedikit penyelarasan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dipertanggungjawabkan untuk mengkaji perkara tersebut.
“Kita sedang dalam proses untuk menilai kerana yang sangat popular di Malaysia adalah TikTok, Facebook dan beberapa yang lain… X mungkin kurang, tidak terlalu popular tetapi memandangkan masalah Grok ini berlaku maka pihak kementerian dan MCMC melihat ada kewajaran untuk meneliti semula keputusan jumlah pengguna di Malaysia.
“Saya serahkan kepada MCMC untuk mengkaji apa had yang sesuai, apa tindakan yang perlu diambil,” katanya memetik laporan BH.
Beliau berkata kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Lembah Pantai di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, di sini, hari ini.
Pada 15 Disember lalu, MCMC memaklumkan bahawa penetapan jumlah pengguna itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Bagaimanapun, platform X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter memaklumkan bahawa jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang yang ditetapkan, iaitu lapan juta pengguna.
Pada 11 Januari lalu, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa pada hari yang sama, berikutan penyalahgunaannya untuk menjana kandungan lucah dan eksplisit secara berulang.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata kerajaan berhasrat melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial menerusi penggunaan tiga dokumen rasmi, iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.
“Ini yang sedang diteliti oleh mekanisme pengesahan identiti Electronic Know Your Customer (EKYC)… kita llihat ada beberapa negara telah berjaya (melaksanakan had umur) tetapi mekanisme yang kita akan guna berbeza kerana Malaysia mempunyai keunikan.
“Kita ada mekanisme MyKad, sebagai contoh… bukan semua negara mempunyai kad (pengenalan) seperti kita… jadi, beberapa perkara ini unik kepada Malaysia maka kita akan usahakan mengikut acuan kita,” katanya.





