
DATUK Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyaksikan aksi final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, lewat petang semalam.
Ketibaan Anwar disambut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kira-kira jam 5 petang.
Kehadiran Perdana Menteri itu mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan sukan negara, khususnya badminton yang juga antara sukan kebanggaan rakyat Malaysia.

Anwar turut menyampaikan hadiah pada sesi beregu lelaki yang menyaksikan pasangan negara Aaron Chia–Soh Wooi Yik muncul naib juara selepas tewas kepada juara bertahan Kim Won Ho–Seo Seung Jae dari Korea Selatan dengan keputusan 15-21, 21-15 dan 18-21 dalam tempoh 66 minit.
Ini adalah kali kedua Aaron–Wooi Yik tewas kepada pasangan yang sama, sekali gus menyaksikan negara terus kemarau gelaran beregu lelaki Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi oleh Goh V Shem–Lim Khim Wah pada 2014.





