
SERIAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Serian memeriksa sebanyak 93 buah kenderaan meliputi kenderaan persendirian dan perdagangan menerusi satu operasi penguatkuasaan harian di sini.
Operasi yang dijalankan di Jalan Kuching–Serian dan Jalan Outering Samarahan itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta peraturan jalan raya dalam kalangan pengguna.
Menurut kenyataan JPJ Serian, hasil pemeriksaan tersebut mendapati masih terdapat pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk kegagalan menyelenggara kenderaan dengan baik, melakukan pengubahsuaian peralatan kenderaan tanpa kelulusan serta pelbagai kesalahan teknikal lain,” katanya.
Tegas kenyataan itu lagi, tindakan penguatkuasaan sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di kawasan sekitar.
Sehubungan itu, JPJ mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat dan mematuhi spesifikasi yang diluluskan sebelum digunakan di atas jalan raya bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Foto : FB JPJ Negeri Sarawak


