
JABATAN Komunikasi Komuniti (JKOM) berperanan sebagai barisan hadapan komunikasi Kerajaan MADANI dalam menterjemahkan dasar dan inisiatif kerajaan supaya difahami serta dirasai rakyat hingga ke peringkat akar umbi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peranan itu amat kritikal kerana dasar kerajaan bersifat abstrak dan tidak memadai sekadar diumumkan melalui kenyataan rasmi di media cetak atau media elektronik.
“Dasar adalah sesuatu yang berada di awangan dan bersifat abstrak. Tetapi daripada dasar itulah lahir pelbagai bentuk perkhidmatan serta produk yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat bukan sekadar dasar itu sendiri, tetapi bagaimana perkhidmatan dan bantuan kerajaan itu boleh dirasai serta difahami oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pejabat baharu JKOM di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pendekatan komunikasi kerajaan perlu berasaskan konsep ‘embodiment’ dan ‘disembodiment’, iaitu menterjemahkan dasar kepada pengalaman nyata yang boleh dilihat, dirasa dan dinikmati oleh rakyat.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak mencukupi sekiranya tidak diterjemahkan dalam bentuk pengalaman harian masyarakat.
Beliau turut merujuk kisah seorang penerima bantuan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, dikenali sebagai Makcik Aminah Sulaiman, yang berkongsi pengalaman menerima bantuan beras, gula dan minyak masak melalui MyKasih yang memberi kesan secara langsun kepada kehidupan seharian.
“Seperti kisah Makcik Aminah Sulaiman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman bersama Perdana Menteri dan Ketua Menteri. Makcik Aminah bercerita, tidak cukup sekadar kita jaga rumah kita sahaja, tetapi beras pun kita perlu jaga.
“Beliau berkata, Perdana Menteri inilah yang memberikan beras, gula dan minyak masak kepada mereka melalui MyKasih.
“Perdana Menteri inilah yang menterjemahkan dasar kerajaan kepada perkara yang mudah dirasai dan difahami oleh rakyat, dengan cara yang paling mudah.
“Sebab itu, tidak mencukupi jika menteri, Ketua Setiausaha (KSU) sekadar masuk RTM semata-mata.
“Sebaliknya, individu seperti Makcik Aminah Sulaiman yang perlu menceritakan pengalaman itu, bukan kepada khalayak umum, tetapi kepada rakan-rakannya di kampung, dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan, surau dan persatuan penduduk,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi berkata tugas utama JKOM adalah untuk melahirkan lebih ramai ‘Makcik Aminah’ yang menjadi penyampai sebenar kejayaan dasar Kerajaan MADANI melalui pengalaman peribadi mereka.
Mengulas peranan JKOM dalam ekosistem komunikasi kerajaan, beliau berkata jabatan itu berada di barisan hadapan dan sering menjadi sasaran kritikan apabila berlaku kekeliruan maklumat di peringkat lapangan.
Fahmi menegaskan, komunikasi kerajaan perlu lebih berfokus kepada keperluan sebenar rakyat, khususnya perkara yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.
“Tugas hakiki kita adalah memastikan perkara-perkara yang paling perlu dinikmati oleh rakyat dapat disampaikan dengan cara yang paling dekat di hati mereka.
“Lebih tepat, mesej itu mesti ‘kena pada perut’, ‘the quickest way to a man’s heart is through his stomach, likewise the quickest way to a people’s heart Is through their stomach,” ujarnya.




