KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperkenalkan kadar baharu kompaun bagi kesalahan letak kereta berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun hadapan.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli berkata, kadar baharu ditetapkan sebanyak RM10 bagi bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan, manakala RM100 dikenakan selepas tempoh 30 hari.
Menurutnya, kadar baharu itu selaras dengan peruntukan mengikut Perintah 8, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) Majlis Perbandaran Kuantan 2005.
“Maksudnya, kadar itu hanya terpakai bagi kesalahan meletakkan kenderaan di petak letak kereta tanpa membuat bayaran ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Zaliza berkata, pelaksanaan kadar itu bertujuan menggalakkan orang ramai membuat bayaran kompaun dalam tempoh ditetapkan.
“Pada masa sama, langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan letak kereta yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” tambahnya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan letak kereta bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
Kadar baharu kompaun itu lebih rendah berbanding kadar sedia ada, iaitu RM30 bagi bayaran dalam tempoh 30 hari dan maksimum RM300 selepas tempoh berkenaan.
MBK sebelum ini mengumumkan penamatan perkhidmatan syarikat operator pengurusan tempat letak kereta secara aplikasi pintar di kawasan pentadbiran PBT itu, berkuat kuasa 24 Disember lalu.
Susulan itu, MBK memaklumkan semua bayaran caj letak kereta melalui saluran syarikat termasuk mesin parkir, kaunter pembayaran, aplikasi Flexi Parking, Touch ‘n Go dan Setel akan dihentikan sepenuhnya mulai 31 Disember ini.
Menurutnya, bermula 24 Disember lalu, bayaran hanya boleh dibuat di kaunter MBK dan menerusi aplikasi Pahang Go.
“Semua urusan permohonan sewaan tempat letak kereta hendaklah dikemukakan terus kepada MBK,” jelas PBT itu.




