
PADANG BESAR – Polis giat memburu seorang penghuni lelaki yang disyaki melarikan diri dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang di sini selepas kehilangan individu berkenaan disedari pihak berkuasa petang Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Sarih Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.07 tengah malam, 27 Disember 2025, selepas pemeriksaan menyeluruh gagal mengesan penghuni terbabit.
“Pihak PUSPEN mendapati kekurangan seorang penghuni ketika sesi roll call pada jam 4.15 petang, selepas program perjumpaan keluarga diadakan antara jam 3.30 hingga 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, susulan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar melancarkan Op Tutup dengan menggerakkan dua pegawai dan 22 anggota polis bagi mengesan individu terbabit.
Katanya, tiga sekatan jalan raya strategik turut didirikan di sekitar daerah Padang Besar bagi memperketat kawalan, menghalang pergerakan serta memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
Beliau memaklumkan, individu berkenaan sebelum ini disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diperintahkan Mahkamah Majistret Alor Setar menjalani rawatan serta pemulihan di Puspen Bukit Chabang selama dua tahun bermula 8 Julai 2025 hingga 8 Julai 2027.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi IPD Padang Besar atau pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.







