LAHAD DATU – Polis mengeluarkan 20 saman trafik atas pelbagai kesalahan dan menyita empat motosikal serta sebuah motokar dalam Op Samseng Jalanan di beberapa lokasi panas sekitar bandar Lahad Datu, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, menerusi operasi selama empat jam bermula 12 tengah malam itu, pihaknya memeriksa 18 individu, 14 kenderaan serta menjalankan empat sesi advokasi keselamatan jalan raya kepada pengguna.
“Antara kawasan tumpuan operasi ialah Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana dan Jalan Pan Borneo melibatkan kekuatan seramai 12 pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian IPD Lahad Datu.
“20 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan ubah suai struktur peralatan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Tegas Dzulbaharin, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kelakuan samseng jalanan yang boleh membahayakan pengguna lain.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten demi keselamatan bersama.
“Orang awam juga diseru agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.





