
SARATOK – Majlis Merarau Pra-Krismas anjuran Kelab Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Zon Sebetan berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana harmoni sekali gus memperkukuh semangat perpaduan antara kaum di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik menyifatkan penganjuran majlis tersebut sebagai satu inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama ahli KMKK, malah mendekatkan kepimpinan akar umbi dengan masyarakat.
“Program seperti ini menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan kerjasama serta memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti yang berada di bawah jagaan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah, pada Khamis.
Menurut beliau, majlis itu turut berperanan sebagai platform perkongsian idea, pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan KMKK bagi meningkatkan keupayaan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Majlis Merarau Pra-Krismas tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada peserta untuk bergaul mesra, sekali gus menyemai semangat kekitaan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan komuniti.
Dalam pada itu, sambutan pra-Krismas yang diraikan dalam suasana muhibah jelas mencerminkan nilai toleransi, saling menghormati dan keterangkuman masyarakat berbilang kaum di Zon Sebetan.
Friday turut berharap kejayaan penganjuran majlis berkenaan dapat dijadikan contoh kepada komuniti lain dalam usaha memperkukuh jaringan sosial, mempertingkat persefahaman antara kaum serta menyokong pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.
Turut hadir Pengerusi Kelab KMKK Zon Sebetan Tuai Rumah Thomas Sigat, Pemanca Thomas Lamit serta Penghulu Isa Ging.
Foto: Facebok Friday Belik Official





