Dr Taufiq Johari dan isyarat senyap kejatuhan politik hingar-bingar Kedah

PENGUMUMAN barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bukan sekadar rombakan pentadbiran.

Ia membawa mesej politik yang halus tetapi tegas iaitu era kepimpinan bising tanpa isi sedang menuju ke penghujungnya.

Dalam senarai tersebut, pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjadi antara titik perhatian utama, khususnya kepada rakyat Kedah yang sudah terlalu lama terperangkap dalam politik retorik dan sensasi.

Pelantikan Dr Taufiq bukan hadiah, apatah lagi belas kasihan politik. Ia adalah pengiktirafan terhadap kredibiliti, latar akademik dan keupayaan kepimpinan yang jarang diketengahkan dalam politik Kedah kebelakangan ini.

Lebih penting, ia mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk menampilkan pemimpin muda sebagai pemain utama, bukan sekadar pelengkap poster kempen.

Hakikat yang pahit untuk ditelan oleh sesetengah pihak ialah rakyat Kedah sudah jemu dengan politik jeritan dan sindiran murahan.

Negeri Jelapang Padi ini tidak miskin idea atau sumber, tetapi miskin kepimpinan yang mampu menterjemahkan potensi kepada hasil.

Selama ini, rakyat disajikan dengan naratif kononnya Kedah dizalimi, dipinggirkan dan dikhianati.

Namun di sebalik jeritan itu, kadar pelaburan tidak melonjak, peluang pekerjaan tidak berkembang dan anak muda terus berhijrah. Yang rancak hanyalah pentas ceramah dan tajuk sensasi.

Dalam konteks ini, kehadiran Dr Taufiq dalam Kabinet membuka lembaran baharu. Buat pertama kali selepas sekian lama, rakyat Kedah melihat seorang pemimpin muda yang bercakap dengan fakta, bukan maki hamun, berhujah dengan data, bukan dongeng.

Jika dibandingkan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perbezaannya ketara.

Dari sudut kebijaksanaan dan kecemerlangan akademik, Dr Taufiq jelas berada di kelas tersendiri.

Sanusi pula lebih dikenali dengan kenyataan separuh masak, sindiran beremosi dan tuduhan melulu sehingga beberapa kali terpaksa mempertahankan diri di mahkamah.

Lebih memalukan, ketika negeri lain berlumba menarik pelaburan dan memperkukuh ekosistem ekonomi, Kedah masih sibuk berperang dengan musuh imaginasi.

Rakyat diminta berbangga dengan retorik, sedangkan realitinya cukai naik, kos sara hidup menekan dan peluang ekonomi tidak seimbang.

Sebagai anak jati Kedah, penulis tidak menafikan bahawa rakyat negeri ini terkenal dengan kesetiaan politik.

Namun kesetiaan itu tidak seharusnya ditunggang tanpa had. Kesabaran rakyat ada batasnya, dan keletihan itu kini semakin jelas dirasai, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan profesional.

Dr Taufiq, sama ada mahu atau tidak, kini dilihat sebagai alternatif rasional kepada politik lama Kedah.

Beliau dilihat berpotensi menjadi ‘poster boy’ baharu bukan kerana propaganda, tetapi kerana latar diri dan pendekatan kepimpinan yang berbeza.

Namun peluang ini datang bersama tanggungjawab besar. Dr Taufiq tidak boleh selesa di menara gading kuasa Persekutuan.

Beliau perlu turun padang, menyantuni anak muda, mendengar keresahan rakyat luar bandar dan membuktikan bahawa politik beradab mampu memberi hasil nyata.

Anak muda Kedah hari ini tidak perlukan slogan kosong. Mereka mahukan pekerjaan, kemahiran, ruang berkarya dan masa depan yang boleh diharap.

Jika Dr Taufiq mampu menjadikan kementeriannya sebagai platform membina ekosistem belia yang sebenar, bukan program bermusim, beliau akan mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi juga sebagai pemimpin masa depan Kedah.

Apa yang pasti, rakyat Kedah sudah terlalu lama membayar harga mahal akibat politik gula-gula dan dongeng tanpa hasil.

Negeri ini rugi masa, rugi peluang dan rugi generasi.

Pelantikan Dr Taufiq mungkin tidak menjatuhkan sesiapa hari ini. Namun ia menghantar satu mesej jelas iaitu politik hingar-bingar tanpa prestasi sedang kehilangan tempat, dan rakyat mula mencari pemimpin yang bekerja dan bukan sekadar bercakap.

Soalnya kini, adakah Kedah bersedia untuk berubah, atau akan terus mempertahankan politik lama yang semakin usang?

Related Posts

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

MIRI – Kesemua lima mangsa yang menaiki sebuah helikopter sewa khas bagi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat berkenaan terhempas di hujung landasan STOLport Long Lellang pada petang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar

KUALA LUMPUR – Ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu turun padang bagi mengenal pasti serta menyelesaikan segera masalah yang menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar