
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bermula 16 hingga 19 Disember 2025 bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Ewon Benedick yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata, buat julung kalinya sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC) telah diangkat sebagai sambutan di peringkat negeri.
“Penganjuran ini mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan.
“Sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada 16 Disember 2025, manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 19 Disember 2025.
“Tema sambutan tahun ini, ‘Pengharapan Damai Dalam Kasih’ (Hope For Peace In Love), menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First,” katanya dalam kenyataan media selepas membuat kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Jelasnya, selain pelbagai pengisian pentas, turut diadakan ialah jamuan rakyat yang melibatkan 100 usahawan dari kalangan penjaja-penjaja tempatan yang akan menjadi pembekal pelbagai juadah jamuan.
Sehubungan itu, Ewon menjemput seluruh rakyat Sabah hadir memberi nilai dan makna kepada sambutan ini.
Justeru, untuk maklumat lanjut mengenai atur cara sambutan boleh diperolehi melalui media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick dan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DBKK serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.


