IMPIAN Chelsea untuk terus bersaing dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris terbantut selepas tewas 3-1 kepada Leeds United, sekali gus melonjak skuad tuan rumah keluar dari zon penyingkiran.
Leeds yang sebelum ini dibelenggu empat kekalahan berturut-turut, tampil garang di Elland Road, manakala Chelsea yang belum tewas dan merakam tiga kemenangan daripada empat perlawanan liga, gagal mengekalkan momentum berkenaan, sekali gus melegakan tekanan terhadap pengendali tuan rumah, Daniel Farke.
Kekalahan itu menyaksikan Chelsea kekal pada 24 mata dan jatuh ke tangga keempat, tiga mata di belakang Aston Villa yang menang 4-3 di Brighton & Hove Albion serta sembilan mata ketinggalan di belakang pendahulu, Arsenal yang menang 2-0 ke atas Brentford.
Leeds pula naik ke tangga ke-17 dengan 14 mata.
Chelsea tampak longlai sejak sepak mula dan percaturan Enzo Maresca yang melakukan lima pertukaran daripada kesebelasan utama ketika seri 1-1 dengan Arsenal nyata tidak menjadi.
Leeds memanfaatkan kelemahan itu seawal minit keenam menerusi jaringan Jaka Bijol yang menanduk masuk hantaran sudut Anton Stach.
Kesilapan demi kesilapan terus menghantui Chelsea dan dua minit sebelum rehat, Enzo Fernandez kehilangan bola di kawasan sendiri, membuka ruang buat Jayden Bogle mencipta peluang yang disempurnakan Ao Tanaka menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti.
Chelsea kembali memberi harapan apabila Pedro Neto merapatkan kedudukan lima minit selepas babak kedua bermula.
Ketumpulan jentera pertahanan Blues sekali lagi dihukum pada minit ke-72 apabila Noah Okafor merampas bola daripada Tosin Adarabioyo di dalam kotak penalti sebelum membuat umpanan yang membolehkan Dominic Calvert-Lewin memastikan kemenangan mutlak Leeds.






