Syarikat tempatan bebas pilih cip AI Amerika atau China

MALAYSIA memperkenalkan pendekatan ‘dua dapur’ dalam penggunaan cip kecerdasan buatan (AI), membolehkan syarikat tempatan bebas memilih sama ada menggunakan cip daripada Amerika Syarikat (AS) atau China, tanpa terikat dengan ketegangan geopolitik global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu membolehkan Malaysia mengekalkan pendekatan berkecuali, inklusif dan berpaksikan kepentingan strategik, bagi memastikan industri domestik dapat memanfaatkan kemajuan teknologi terkini.

“Syarikat tempatan di sini mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan cip dari AS atau cip dari China seperti Huawei.

“Kita mahu memperkukuh akses kepada kedua-duanya kerana ekonomi kita bersifat terbuka dan kita mahu semua pemain industri datang melabur di sini.

“Ibaratnya, kita nak ada dua dapur, jika ada syarikat yang mahu menggunakan ‘dapur’ AS, mereka boleh berbuat demikian. Jika ada yang tidak mahu menggunakan cip sensitif dari AS, mereka boleh memilih cip dari China,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan R Yuneswaran (PH–Segamat) mengenai strategi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memastikan syarikat Malaysia dapat mengakses cip AI daripada kuasa besar dunia tanpa terikat dengan ketegangan geopolitik atau gangguan rantaian bekalan.

Tengku Zafrul berkata pendekatan itu memastikan syarikat dan industri yang berpangkalan di Malaysia mempunyai akses terkawal, berdaya saing serta selamat kepada cip dan platform AI global, sambil mengekalkan standard keselamatan serta kedaulatan data negara.

“Jadi bagi mencapai objektif ini, beberapa strategi utama sedang digerakkan selaras dengan aspirasi di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan agenda transformasi digital negara,” katanya.

Beliau menambah, walaupun Malaysia masih belum mampu menghasilkan cip AI berprestasi tinggi, negara sedang bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor melalui Strategi Semikonduktor Negara, dengan tumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembungkusan maju.

“Beberapa syarikat sudah mula bekerjasama dengan universiti tempatan dan kerajaan memperkenalkan insentif untuk firma yang menyediakan latihan berkualiti kepada jurutera Malaysia. Kita memang mempunyai jurutera, tetapi kekurangan pakar khusus.

“Ini cabaran bukan sahaja untuk Malaysia, malah seluruh dunia kerana permintaan terhadap teknologi AI semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut meneliti kebolehlaksanaan membenarkan graduan asing daripada institusi tempatan kekal bekerja di Malaysia bagi menyokong pembangunan kapasiti dalam sektor semikonduktor dan AI.

Related Posts

Perlu dibaca

Dakwaan KJ tidak cerminkan realiti sebenar sokongan rakyat

Dakwaan KJ tidak cerminkan realiti sebenar sokongan rakyat

Fahmi sangkal PRU16 hujung tahun ini

Fahmi sangkal PRU16 hujung tahun ini

Calon BN didakwa terlibat isu deklarasi saham RM12 juta

Calon BN didakwa terlibat isu deklarasi saham RM12 juta

Ceramah ‘perkauman’ Sanusi: MP DAP desak MCA nyatakan pendirian

Ceramah ‘perkauman’ Sanusi: MP DAP desak MCA nyatakan pendirian

Sektor pertanian Pahang penyumbang kedua terbesar negara

Sektor pertanian Pahang penyumbang kedua terbesar negara

Penduduk Linggi iktiraf sentuhan Aminuddin ubah wajah Negeri Sembilan

Penduduk Linggi iktiraf sentuhan Aminuddin ubah wajah Negeri Sembilan