11 perkara MA63 dimuktamadkan hasil rundingan Sarawak-Persekutuan

KUCHING – Sebanyak 11 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya dimuktamadkan hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri–Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perkembangan itu menunjukkan pendekatan rundingan yang konsisten dan teratur mampu mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

Menurutnya, antara kejayaan utama ialah pengembalian kuasa mengurus Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak melalui PETROS sebagai sebahagian usaha mengukuhkan bidang kuasa strategik negeri. 

Selain itu, jelas beliau, pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf kembali kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi setaraf ketika penubuhan Malaysia, selaras dengan semangat MA63 dan Laporan IGC.

“Pindaan Artikel 161A juga memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menentukan takrif ‘pribumi’ secara lebih luas dan inklusif. Kerajaan Negeri turut diberikan kuasa mengeluarkan lesen bekalan air melalui Jabatan Bekalan Air Sarawak dan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek pada Persidangan DUN Sarawak.

Beliau turut menjelaskan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 membolehkan kedua-duanya melaksanakan projek persekutuan bernilai sehingga RM50 juta di negeri itu.

Selain itu, pindaan Akta Majlis Keselamatan Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) telah dipersetujui bagi membolehkan wakil Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli majlis. 

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan Persekutuan turut memansuhkan keperluan Permit Khas berkaitan urusan hak milik tanah di kedua-dua negeri.

“Pindaan Ordinan Pelabuhan Bintulu (Cap. 76) yang berkuat kuasa 1 Mei 2025 turut menyaksikan Pelabuhan Bintulu beralih daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri. Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) juga kini diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal dalam Arahan Perbendaharaan 182,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan bayaran Geran Khas Sarawak daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta pada 2025 sementara formula baharu geran tersebut dimuktamadkan.

Perkara lain yang dipersetujui termasuk pemulangan kuasa pentadbiran sumber tanah melalui NREB serta pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan Ketua Hakim di Sarawak.

Namun, beberapa isu masih memerlukan rundingan lanjut antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Ia termasuk cadangan menambah bilangan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta memindahkan perkara perdagangan antara negeri (Item 25A) daripada Senarai I (Persekutuan) ke Senarai III (Bersekutu) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter bagi tempoh 6 hingga 12 Ogos depan. Kementerian Kewangan (MOF), dalam kenyataan hari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

KANGAR – Penemuan kedua tulang dipercayai rangka manusia dalam tempoh kira-kira dua minggu di Behor Mali di sini mencetuskan persoalan netizen apabila lokasi baharu itu hanya kira-kira 200 meter dari…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Fahmi anggap ‘Cik Man’ anak seni disegani ramai

Fahmi anggap ‘Cik Man’ anak seni disegani ramai

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

  • By Aden
  • August 5, 2026
Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan