
SIPITANG – Calon PH DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa, menyatakan kestabilan kerajaan adalah asas bagi memastikan projek-projek negeri tidak tergendala, terutama apabila pentadbiran baharu mengambil alih projek sedia ada.
Yamani berkata, sejarah menunjukkan apabila parti Warisan sebagai kerajaan mengambil alih projek-projek, sebahagian daripadanya menghadapi isu tergendala atau pembatalan.
“Stabiliti adalah perkara asas untuk memastikan tiada kelewatan atau pembatalan projek.
“Rakyat perlu faham bahawa kerajaan yang sedia ada harus terus mentadbir negeri supaya tidak berlaku gangguan daripada pentadbiran baharu,” katanya dalam satu temu bual, di sini pada Ahad.
Tambahnya, pentadbiran baharu mungkin perlu memulakan projek dari awal atau mempunyai pengetahuan yang kurang tentang sejarah projek-projek sedia ada.
“Keadaan ini boleh menganggu gugat jadual pelaksanaan dan kelengkapan projek.
“Isu ini adalah penting untuk difikirkan rakyat apabila menentukan kerajaan pada masa hadapan kelak,” ujarnya.






