PM tolak tindakan terburu-buru isu surat sokongan setiausaha politik

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan terhadap setiausaha politiknya berhubung isu surat sokongan kepada kontraktor tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa, walaupun wujud desakan supaya individu itu dipecat.

Menjawab pertanyaan mengenai gesaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, Anwar berkata, tindakan perlu berdasarkan tahap kesalahan sebenar.

“Saya faham dari mana datangnya pandangan beliau, tetapi kita perlu melihat kepada tahap kesalahan.

“Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan (setiausaha politik itu), tetapi kita perlu tanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya… jawapannya tidak.

“Jadi, kita sudah menegurnya… kita tidak boleh mendesak tindakan tegas diambil hanya kerana kita tidak bersetuju dengan orang itu. Kita perlu konsisten.

“Saya telah menggunakan kata-kata keras terhadap kakitangan saya supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di dalam pesawat sewaan Malaysia Airlines yang membawanya ke Afrika Selatan pada ketinggian kira-kira 30,000 kaki, selepas lawatan rasminya ke Addis Ababa, Ethiopia.

Anwar berada di ibu negara Ethiopia itu atas jemputan Perdana Menteri Dr Abiy Ahmed Ali, yang melawat Kuala Lumpur tahun lalu. Beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan akan berada di Afrika sehingga 23 November sebelum ke Nairobi, Kenya.

Rafizi sebelum ini menegaskan Anwar perlu bertindak lebih tegas dan memecat setiausaha politik berkenaan bagi menunjukkan komitmen membanteras rasuah.

“Itu yang sepatutnya berlaku. Jangan tegur. Pecat sahaja,” katanya dalam satu video di akaun Facebook miliknya.

Anwar memaklumkan Dewan Rakyat pada Selasa bahawa setiausaha politiknya sudah ditegur dan peraturan kerajaan melarang pengeluaran surat sokongan sedemikian. Beliau menegaskan surat berkenaan tidak boleh dianggap sebagai sokongan automatik kepada kontrak.

“Surat itu bukan arahan. Anda dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.

“Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion. Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil… betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri,” katanya.

Apabila ditanya sama ada amaran keras sudah mencukupi, Anwar menegaskan pengkritik perlu konsisten dalam memilih isu yang hendak diperjuangkan.

“Mereka mesti konsisten… kamu tidak mengetengahkan kes rasuah besar melibatkan VIP (orang kenamaan), tetapi kamu buru ikan bilis hanya untuk meraih populariti,” katanya.

Related Posts

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

KAZAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Persekutuan Rusia, selama dua hari bermula esok. Wisma Putra memaklumkan, Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi