
PENAMPANG – Harapan penduduk Moyog untuk melihat perubahan yang lebih nyata dalam penyelesaian isu asas setempat semakin ketara apabila calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Moyog, Remysta Taylor, tampil menawarkan kepimpinan baharu yang segar dan berfokus.
Sepanjang dua hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Remysta telah melawat lebih enam kampung termasuk sesi ziarah rumah ke rumah, bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan rakyat.
Hasil tinjauan itu mendedahkan banyak isu berlarutan yang masih membebankan penduduk, khususnya berkaitan permohonan tanah, keadaan jalan kampung yang daif, serta bekalan air dan elektrik yang tidak stabil.
Menurut calon PH DUN Moyog, Remysta Taylor, isu tanah menjadi isu utama di kawasan Moyog ini.
“Isu tanah menjadi keluhan terbesar penduduk Moyog, yang rata-ratanya sudah lama mengemukakan permohonan namun masih tidak menerima sebarang penyelesaian.
“Ramai telah mohon tanah sejak bertahun-tahun tapi tidak ada perkembangan.
“Mereka mahu perkara ini diselesaikan segera. Ini antara komitmen utama yang saya akan beri perhatian jika diberi mandat,” katanya ketika mengadakan Ziarah Kasih MADANI di kawasan Moyog, di sini pada Isnin.

Menurutnya, keadaan jalan di kawasan pedalaman Moyog turut membimbangkan, memandangkan banyak laluan kampung masih berturap tanah, dipenuhi gravel dan batu-batu besar, sekali gus menyukarkan pergerakan harian penduduk.
“Jalan utama di Moyog mungkin kelihatan baik, tetapi masih banyak lubang.
“Di kampung pula, keadaannya jauh lebih teruk dan memerlukan perhatian segera,” ujarnya.
Selain itu, penduduk turut menuntut peningkatan akses terhadap kemudahan asas seperti elektrik dan air, yang didakwa masih berlaku gangguan di beberapa kawasan.
Remysta berkata masalah ini perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih strategik, bukan sekadar penyelesaian sementara.
Dalam kunjungan itu, Remysta turut menerima mesej jelas daripada penduduk yang mahukan perubahan melalui kepimpinan baharu yang lebih dinamik dan dekat dengan rakyat.
“Mereka beritahu saya mereka mahu ‘seseorang yang muda, berkebolehan dan masih segar untuk mewakili mereka.
“Mereka mahu suara yang benar-benar memahami isu di lapangan,” jelasnya.
Remysta menegaskan bahawa segala aspirasi penduduk Moyog akan dijadikan keutamaan sekiranya beliau diberi kepercayaan pada PRN Sabah kali ini, sambil menambah bahawa kepimpinan baharu perlu membawa solusi, bukan sekadar janji.
“Komitmen untuk memperbaiki tanah, jalan dan kemudahan asas akan menjadi teras agendanya bagi memastikan Moyog tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negeri,” katanya.






