
KEMENTERIAN Kesihatan Gaza hari ini memaklumkan pihaknya menerima 15 lagi mayat rakyat Palestin daripada Israel melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di bawah perjanjian gencatan senjata.
Pemindahan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dipulangkan Israel meningkat kepada 315 orang sejak perjanjian gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, lapor Anadolu.
Kementerian berkata, pasukan perubatan sedang melaksanakan pemeriksaan dan dokumentasi sebelum menyerahkan mayat kepada waris masing-masing.
Menurut data terdahulu, kebanyakan mayat dipulangkan tanpa identiti dan sukar dikenal pasti akibat penyeksaan serta mutilasi.
Gaza juga menghadapi kesukaran menjalankan ujian DNA berikutan sekatan Israel dan kemusnahan makmal, menyebabkan keluarga terpaksa mengenal pasti mangsa melalui tanda fizikal atau pakaian.
Setakat ini, 91 mayat sudah dikenal pasti, manakala 182 lagi tanpa identiti telah dikebumikan, termasuk 38 jenazah di kawasan tengah Gaza.
Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Gaza Tengah, Mohamad Abu Shamala berkata, sebahagian mayat menunjukkan kesan tembakan, kecederaan kepala dan jerutan dengan tali masih terikat di leher ketika dikebumikan.
“Walaupun dalam keadaan sukar, kami memastikan mereka dikebumikan dengan penuh hormat dan maruah,” katanya.
Sebelum gencatan senjata, Israel dilapor menahan 735 mayat rakyat Palestin di ‘perkuburan bernombor’, manakala laporan akhbar Haaretz menyebut tentera Israel masih menyimpan sekitar 1,500 mayat rakyat Gaza di pangkalan Sde Teiman di selatan Israel.




