
KOTA KINABALU – Koperasi baharu di Sabah diseru agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan inisiatif yang disediakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkukuh keupayaan perniagaan, menambah nilai produk dan memperluas jaringan pasaran.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, koperasi merupakan tunjang kepada pembangunan ekonomi rakyat yang bukan sahaja berperanan sebagai wadah keusahawanan, tetapi juga pemangkin kesejahteraan komuniti serta penggerak ekonomi inklusif yang mampan.
“Kita mahu gerakan koperasi terus berkembang maju, berdaya saing dan berperanan besar dalam membina masa depan ekonomi yang lebih adil serta mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi dan Pemantapan Tatakelola Koperasi Baharu Negeri Sabah yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena Majlis Ramah Mesra Gerakan Koperasi bersama Timbalan Menteri KUSKOP 2025, di sini pada Sabtu.

Program berkenaan menghimpunkan hampir 60 koperasi baharu dengan penyertaan lebih 200 pemimpin dan anggota koperasi dari seluruh negeri Sabah.
Ramanan berkata, program itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman mengenai perundangan koperasi selain mengeratkan jaringan antara pemimpin dan anggota gerakan koperasi di negeri ini.
“Setiap koperasi perlu memperkukuh tatakelola, memupuk nilai murni serta membina budaya berkoperasi yang progresif bagi memastikan pertumbuhan gerakan koperasi yang mampan.
“Program itu mencerminkan komitmen berterusan SKM dan KUSKOP dalam memperkukuh gerakan koperasi sebagai pemangkin ekonomi rakyat, khususnya dalam melahirkan koperasi baharu yang berdaya tahan, berintegriti dan berdaya saing di peringkat nasional,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan agar setiap koperasi menyediakan pelan strategik dan mematuhi keperluan tatakelola serta syarat permohonan bagi melayakkan diri menikmati pelbagai insentif dan bantuan kerajaan.
Turut hadir, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Efendee OP Andu, Pengarah SKM Negeri Sabah, Awg. Ruslli Mohammad serta barisan kepimpinan dan warga koperasi negeri Sabah.



