MARAN – PKR Cabang Maran meneruskan usaha mendekati masyarakat dengan mempromosikan pelbagai inisiatif diperkenalkan Kerajaan MADANI bagi membantu rakyat, khususnya dalam aspek perumahan.
Pengarah program, Halias Abdul Aziz berkata, program yang berlangsung di Masjid Al-Ansar, Kampung Bukit Lada, dekat Chenor, adalah kesinambungan daripada kejayaan siri pertama yang diadakan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit, sebelum ini.
“Melalui agensi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) negeri Pahang mengadakan sesi taklimat mengenai Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk warga DUN Chenor.
“Hampir 200 penduduk dalam kawasan DUN Chenor hadir bagi mendengar taklimat disampaikan oleh Pengurus SPNB Pahang, Azizul Hadi Saad,” katanya.
Beliau berkata, program itu juga membuka peluang kepada penduduk Maran mengetahui dengan lebih dekat skim pembinaan rumah di tanah sendiri atau tanah milik yang mendapat kebenaran, dengan harga diskaun yang berpatutan.
“Model rumah tiga bilik dan dua bilik air bersaiz 750 kaki persegi ini sangat sesuai untuk keluarga berpendapatan sederhana,” katanya.
Pihak SPNB Pahang turut membuka kaunter permohonan di lokasi program dan ia mendapat sambutan baik daripada pengunjung program itu.





