
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 913 unit aksesori dan alat ganti telefon bimbit berjenama yang disyaki tiruan bernilai RM27,742 dalam empat serbuan berasingan di seluruh negeri.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang dijalankan pada Isnin itu melibatkan premis di Ipoh, Manjung, Parit Buntar dan Taiping hasil risikan serta aduan daripada wakil pemilik cap dagang.
“Serbuan dilakukan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penjualan barangan tiruan melibatkan jenama terkenal di beberapa premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 913 unit aksesori telefon bimbit yang menggunakan cap dagang berjenama secara salah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, wakil pemilik cap dagang turut hadir semasa operasi dan membuat pengesahan awal terhadap semua barangan yang disita.
Kamalludin menegaskan, KPDN memandang serius isu pelanggaran hak cap dagang dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat menjual barangan berjenama tiruan.
“Kesemua premis disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000 bagi setiap pertuduhan terhadap perbadanan, manakala individu boleh didenda hingga RM10,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya,” jelasnya.
Beliau menambah, KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan risikan terhadap premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan produk tiruan serta memastikan keyakinan pelabur asing, khususnya di Perak, terus terpelihara.





