TEMERLOH – Komuniti peniaga kecil dan penjaja di negara ini memainkan peranan penting dengan sumbangan sebanyak RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tahun lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komuniti itu juga berjaya mewujudkan 8.1 juta peluang pekerjaan dalam tempoh sama.
Menurut Perdana Menteri, komuniti terbabit adalah nadi utama ekonomi negara dan wira rakyat yang sentiasa menyumbang kepada pembangunan negara seperti dizahirkan menerusi penganjuran Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK 2025).
“Sesungguhnya penganjuran HPPK ini adalah pengiktirafan penting kerajaan terhadap sumbangan komuniti penjaja dan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang serta nadi kepada ekonomi MADANI.
“Mereka inilah yang setiap hari berada di barisan hadapan, dari pasar pagi hingga ke penjaja malam, demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan serta menjadi wajah sebenar semangat niaga negara,” katanya, lapor Sinar Harian.
Teks ucapan itu dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mewakili Anwar merasmikan HPPK 2025 di Lurah Semantan, dekat sini, hari ini.
![]()
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Jelasnya, Kerajaan MADANI komited memperluas penyertaan PMKS dalam sektor keusahawanan melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunan kapasiti, dengan sasaran menyumbang 50 peratus kepada KDNK menjelang 2030 seperti digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
“Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 perlu dijadikan dasar induk serta panduan utama dalam usaha membangunkan komuniti penjaja dan peniaga kecil,” jelasnya lagi.
Anwar turut mengingatkan agar pelaksanaan dasar dilakukan secara pantas dan berkesan melalui peranan strategik KUSKOP.
Beliau turut menghargai inisiatif KUSKOP bersama Bank Rakyat melalui Program Jajahan Rakyat yang memperluas akses digital, memacu perniagaan tanpa tunai serta menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih kondusif.
“Inisiatif ini selari dengan agenda Malaysia MADANI, memastikan usahawan mikro tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan,” katanya.
Tambah beliau, komitmen kerajaan diteruskan melalui Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan terhadap suntikan dana, bantuan pembiayaan serta pengukuhan akses pasaran antarabangsa bagi memperkasa PMKS.






