
PAPAR – Tindakan parti Warisan meraikan kemasukan beberapa pemimpin parti lain dilihat sebagai normalisasi terhadap budaya lompat parti yang sebelum ini digunakan untuk menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Warisan sebelum ini membina naratif bahawa GRS adalah ‘sarang pelompat’, namun perkembangan terkini memperlihatkan parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada individu yang berpindah parti.
“Sebelum ini mereka menguatkan naratif dan framing bahawa GRS ini adalah parti lompat sarang.
“Namun dalam masa sekarang mereka pula menyambut pelompat dengan permaidani merah, siap dengan sidang media khas.
“Keadaan itu menunjukkan sikap politik yang tidak konsisten dan bergantung kepada kepentingan semasa.
“Orang bilang, cakap tidak serupa fikir. Bila tidak menguntungkan, lompat dikecam. Tapi bila menguntungkan, lompat diraikan.
“Sekali air bah, sekali pantai berubah,” katanya dalam sidang media di Pejabat UPPM DU Kawang, di sini, pada Ahad.
Jelasnya, tindakan berpindah parti adalah hak individu dan tidak bercanggah dengan undang-undang selagi bukan melibatkan wakil rakyat, namun fenomena ini mencerminkan ujian terhadap nilai perjuangan sebenar dalam parti.
“Dan apa juga tujuan mereka kerena disebabkan faktor calon atau tidak, saya tidak tahu, saya tidak berminat untuk komen.
“Kalau itulah puncanya, mungkin ini salah satu ruang pembersihan dalam parti.
“Kita mahu pemimpin yang benar-benar faham bahawa perjuangan ini bukan soal kepentingan individu atau calon semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Armizan, Warisan sepatutnya sedar bahawa tindakan mereka kini hanya mengesahkan tuduhan lama terhadap GRS sebagai tidak berasas, malah memperlihatkan pengulangan corak politik sama seperti yang berlaku pada 2018.
“Ini bukan perkara baharu bagi Warisan. Dulu pun kerajaan sudah terbentuk, tapi tiba-tiba berlaku perubahan kuasa melalui lompatan. Hari ini mereka menormalisasikannya lagi, jelasnya.
Armizan turut mengingatkan bahawa politik berprinsip tidak seharusnya diukur berdasarkan peluang menjadi calon, sebaliknya pada kesetiaan kepada perjuangan yang disepakati bersama.
“Kalau hari ini ada yang melompat kerana isu calon, maka itu menjelaskan segalanya.
“Tunggu hari penamaan nanti, kalau mereka ini jadi calon, maka sah lah itu punca sebenar.
“Terima kasih Warisan kerana secara tidak langsung membantu GRS menapis pemimpin yang tidak mempunyai teras perjuangan sebenar.
“Mereka bantu kita tapis. Jadi janganlah kerana kepentingan peribadi mahu jadi calon, kita hancurkan perjuangan yang kita bina bersama. Politik ini bukan hanya untuk hari ini, tapi untuk masa depan,” ujarnya.







