
KUCHING – Seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an ditemukan maut di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan sebuah pusat beli-belah pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching ASP Alexson Naga Chabu berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.55 petang, 29 Oktober 2025, selepas orang awam memaklumkan terdapat seorang wanita tidak sedarkan diri di dalam kereta tersebut.
“Sepasukan anggota polis segera ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati seorang wanita dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pintu kenderaan berkenaan terkunci dari dalam, dan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya telah dipanggil untuk membuka pintu kereta tersebut.
“Pemeriksaan oleh pembantu perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) kemudian mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Siasatan awal mendapati wanita berkenaan merupakan individu yang dilaporkan hilang di kawasan Tabuan Jaya sebelum ini. Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat.
Tambah Alexson, hasil siasatan awal di lokasi mendapati tiada unsur jenayah, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” tegasnya.





