
SARATOK – Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mencuri komponen jentolak milik seorang ketua kampung di Kabong pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata kejadian disedari pengadu berusia 55 tahun kira-kira jam 3.45 petang selepas mendapati dua unit bateri dan minyak diesel dalam tangki jentolak miliknya hilang di kawasan belakang Rumah Panjang Kabong.
“Pengadu membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan dua unit bateri bernilai RM806 serta sejumlah minyak diesel yang dipercayai dicuri dari jentolak berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry telah menahan dua suspek di dua lokasi berasingan iaitu Kabong dan Simpang Roban pada 30 Oktober lalu.
Dalam operasi itu, polis turut merampas dua unit bateri jenama Motolite Heavy Duty serta sebatang spanar boleh laras jenama Baolian yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 26 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kedua-dua mereka mengaku mencuri bateri tersebut untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli dadah,” jelasnya.
Suspek pertama, seorang bekas tentera menganggur dari Roban, memiliki satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala suspek kedua, seorang buruh dari Kabong, mempunyai dua rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini direman di Balai Polis Saratok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A(2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
“Polis Saratok akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan jenayah harta benda di kawasan luar bandar serta menyeru masyarakat supaya segera menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” tambah beliau.






