
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti kesesuaian had perbelanjaan parti politik dan calon semasa pilihan raya dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa bagi tujuan penambahbaikan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada masa ini, had maksimum perbelanjaan yang dibenarkan bagi setiap calon Dewan Rakyat ialah RM200,000, manakala bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pula ialah RM100,000.
“Had perbelanjaan yang dinyatakan di bawah Akta 5 adalah had perbelanjaan yang dibuat oleh calon yang bertanding.
“Bagaimanapun, SPR sedang meneliti kesesuaian perbelanjaan parti semasa pilihan raya berdasarkan faktor petunjuk ekonomi untuk diambil kira dalam kajian menambah baik Akta 5,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk menambah baik undang-undang berkaitan had perbelanjaan calon dan parti politik semasa pilihan raya.
Azalina berkata, penilaian semula itu penting agar pelaksanaan pilihan raya kekal telus dan realistik dengan mengambil kira kos operasi semasa yang semakin meningkat.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin Pas baru-baru ini yang mendakwa sebanyak RM1 juta diperlukan untuk memenangi pilihan raya Parlimen, dan menegaskan bahawa isu berkenaan menunjukkan keperluan meneliti semula had perbelanjaan yang telah ditetapkan sejak sekian lama.
Sementara itu, Azalina memaklumkan bahawa SPR tidak bercadang untuk memasukkan kesalahan menggunakan telefon bimbit di tempat mengundi dalam pindaan Akta 5 yang akan datang.
Menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna), beliau berkata, mekanisme kawalan sedia ada masih mencukupi bagi memastikan kerahsiaan undi sentiasa terpelihara.
Katanya, larangan penggunaan telefon bimbit dalam tempat mengundi kini dilaksanakan melalui poster peringatan yang ditampal di kawasan pengundian, selain penerangan oleh petugas pilihan raya.
“Tindakan Kerani Pengundian (KP) 3 yang memaklumkan kepada pengundi ketika menyerahkan kertas undi, iaitu meminta pengundi meninggalkan telefon bimbit di meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) sebelum beredar ke petak undi untuk membuat penandaan kertas undi, juga merupakan antara langkah kawalan yang dilaksanakan,” katanya.
Azalina menjelaskan, langkah tersebut selaras dengan peraturan sedia ada bagi memastikan kerahsiaan undi tidak terjejas.
“SPR amat komited dalam memastikan kerahsiaan undi sentiasa terpelihara selaras dengan peruntukan Akta 5. Berdasarkan input yang diterima, pihak SPR sedia maklum akan risiko penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi.
“SPR, bagaimanapun, sentiasa terbuka untuk mengkaji sebarang cadangan penambahbaikan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lebih cekap pada masa hadapan,” katanya.






