
“BAGAI aur dengan tebing, saling menyokong tidak pernah condong.”
Itulah gambaran hubungan ideal antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang buat pertama kali dalam tempoh yang lama, peribahasa ini bukan sekadar harapan, tetapi menjadi realiti di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selama ini, Sabah sering melaungkan rasa terpinggir, hasil bumi dikaut tetapi pulangan ke negeri sendiri tidak sepadan.
Pemberian khas RM26.7 juta setahun sejak sekian lama ibarat memberi secebis kepada negeri yang menyumbang sebahagian besar kekayaan negara.
Hari ini, di bawah Kerajaan MADANI, Sabah akhirnya diberi tempat sewajarnya. Pemberian khas yang dulunya hanya RM26.7 juta melonjak kepada RM600 juta pada 2025 dan telah pun dibayar penuh pada 10 September lalu. Ini bukan janji, ini pelaksanaan.
Lebih mengejutkan, hasil kutipan kerajaan pusat dari Sabah hanyalah RM10 bilion, tetapi peruntukan yang diberikan adalah RM17 bilion.
Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mengira laba sebelum memberi. Sabah diberi lebih daripada yang dibawa masuk, bukti itulah keadilan dan bukan ihsan.
Untuk rekod di bawah Kerajaan MADANI Sabah tidak lagi menjadi anak tiri, namun dilayan dalam konteks Malaysia yang bukan sekadar ahli keluarga, malah tonggak penting kepada pembinaan negara bangsa.
Pada tahun 2019, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabah diberi peruntukkan RM53.4 juta. Pada 2022 di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Sabah menerima peruntukan sebanyak RM125.6 juta.
Namun peruntukan untuk Sabah terus melonjak lebih sekali ganda di bawah Kerajaan MADANI iaitu RM300 juta pada tahun 2023 dan RM600 juta untuk tahun 2025 yang yang telah dibayar sepenuhnya pada 10 September 2025.
Hari ini, Perdana Menteri menyerahkan kepada Peguam Negara untuk meneliti susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan itu dan komited untuk meneliti alasan penghakiman tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Bagaimanapun, Anwar menyangkal tanggapan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengambil hasil Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunannya.
Mengambil ibrah konsep berat sama dipikul, ringan sama dijinjing telah menggambarkan Kerajaan MADANI konsisten memupuk kebersamaan dan tanggungjawab bersama Sabah dalam sebuah keluarga besar Malaysia.
Lebih penting, jumlah peruntukan RM17 bilion yang disalurkan ke Sabah mengatasi hasil kutipan RM10 bilion dari negeri itu sendiri. Ini isyarat jelas kerajaan tidak lagi memberi berdasarkan untung-rugi, tetapi atas semangat keadilan dan kesaksamaan.
Inilah pendekatan Anwar yang konsisten iaitu memuliakan negeri-negeri Malaysia Timur dengan tindakan, bukan retorik.
Tiada rundingan tertangguh, tiada janji kosong, tiada main tarik tali. Hak Sabah ditunaikan tanpa syarat. Kerajaan juga sedang menyemak kaedah baharu penetapan pemberian khas yang lebih telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang.
Pendek kata, Anwar meletakkan Sabah bukan sekadar di peta, tetapi dalam agenda utama pembangunan negara. Tidak hairanlah ramai melihat Anwar sebagai pemimpin nasional yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat di Sabah, dari Semporna hinga ke Sipitang.
Namun dalam keghairahan menerima peruntukan, pemimpin negeri juga perlu sedar akan tanggungjawab menyalurkan manfaat kepada rakyat Sabah adalah amanah besar.
Wang itu bukan untuk menghias pejabat, tapi mengisi keperluan rakyat dengan air bersih, sekolah berkualiti, kesihatan dan peluang ekonomi.
Kerajaan MADANI telah membuktikan keikhlasan. Kini tiba giliran pemimpin Sabah membalas dengan integriti dan kecekapan.









