Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar, Trump akan bincang isu perdagangan, geopolitik dan Gaza

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, dari 26 hingga 28 Oktober ini, bagi membincangkan isu dua hala dan global yang mendesak.

Anwar berkata, perbincangan tersebut akan memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk memperkukuh hubungan Malaysia–Amerika Syarikat, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan isu geopolitik serantau, termasuk krisis di Gaza.

“Kami telah berhubung melalui telefon sebanyak dua kali. Beliau sangat mesra, menyokong dan mendengar dengan baik. Saya mahu menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi juga untuk menyuarakan pandangan saya mengenai perkara yang baik untuk Malaysia, Amerika Syarikat dan dunia.

“…termasuk isu berkaitan Gaza. Saya menghargai usaha beliau – walaupun ada pandangan berbeza, kita harus mengiktiraf hakikat bahawa Trump telah memainkan peranan besar dalam menghentikan sekurang-kurangnya pengeboman di Gaza.

“Tetapi cabaran kita kini ialah memastikan keamanan dan keadilan dapat ditegakkan serta hak dan aspirasi sah rakyat Palestin dihormati,” katanya semasa sesi perbualan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di ibu negara, hari ini.

Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat kekal kukuh meskipun terdapat perbezaan dasar dari semasa ke semasa, kerana kedua-dua negara mempunyai ikatan ekonomi dan diplomatik yang mendalam.

“Ini Malaysia, ini ASEAN, dasar kita berasaskan kepusatan ASEAN. Kita rapat dengan China dan teguh di rantau ini, namun pada masa sama mengekalkan hubungan tradisional dengan Amerika Syarikat.

“Sebagai negara dagang, kita terus memperluas hubungan bukan sahaja dengan Eropah, Asia dan Amerika, tetapi juga dengan Amerika Latin dan Afrika Selatan.

“Itulah sebabnya, buat pertama kali dalam rangka kerja ASEAN, kita akan menerima kehadiran Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia komited terhadap dasar luar negara yang seimbang dan berprinsip, dengan mengekalkan kerjasama baik bersama semua kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Anwar turut menyatakan bahawa sidang kemuncak kali ini menjadi medan penting untuk memperkukuh kerjasama global menerusi rangka kerja ASEAN yang berperanan sebagai platform dialog dan kolaborasi antara ekonomi utama dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan Kyodo News memetik Presiden Amerika Syarikat sebagai berkata beliau akan melakukan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan serta menyuarakan komitmen untuk mengekalkan hubungan baik dengan China.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan bakal menghimpunkan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Related Posts

Kerajaan MADANI perkasa BUDI Diesel demi manfaat pengguna

PUTRAJAYA – Pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian milik individu yang layak di bawah BUDI Diesel boleh memindahkan kelayakan kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan tersebut, mulai Rabu. Bagaimanapun, kementerian Kewangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
BUDI MADANI: Kerajaan benar pindah kuota diesel maksimum tiga kenderaan segera

KUCHING – Kerajaan MADANI mengumumkan penambahbaikan segera terhadap inisiatif BUDI MADANI bagi penyaluran subsidi diesel (Budi Diesel) dengan membenarkan pemindahan kelayakan sehingga maksimum tiga buah kenderaan berkuat kuasa serta-merta. Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan MADANI perkasa BUDI Diesel demi manfaat pengguna

Kerajaan MADANI perkasa BUDI Diesel demi manfaat pengguna

BUDI MADANI: Kerajaan benar pindah kuota diesel maksimum tiga kenderaan segera

BUDI MADANI: Kerajaan benar pindah kuota diesel maksimum tiga kenderaan segera

Pemberian Khas Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion – PMX

Pemberian Khas Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion – PMX

‘Kehilangan ibu ketika berada di penjara hari paling murung buat saya’ – PMX

‘Kehilangan ibu ketika berada di penjara hari paling murung buat saya’ – PMX

Bantuan tiket penerbangan RM500: Inisiatif MADANI ringankan beban lebih 7,000 pelajar baharu IPT

Bantuan tiket penerbangan RM500: Inisiatif MADANI ringankan beban lebih 7,000 pelajar baharu IPT

Isu MA63 bukan tuntutan sepihak, ia ‘Waad Nasional’ – PMX

Isu MA63 bukan tuntutan sepihak, ia ‘Waad Nasional’ – PMX