MELAKA – Seorang lelaki direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas disyaki melibas dan mencederakan seorang remaja perempuan menggunakan pisau.
Perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Terdahulu, suspek berbaju reman jingga tiba di Kompleks Mahkamah Melaka dengan kenderaan polis.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian menimpa mangsa berusia 18 tahun itu berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa bersama kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya malah memaklumkan tidak mempunyai musuh atau sebarang perselisihan faham dengan mana-mana individu.







