Ewon sedia undur dari Kabinet jika kerajaan fail rayuan isu 40 peratus hasil Sabah

PENAMPANG – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Persekutuan sekiranya kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak Sabah untuk menerima 40 peatus hasil bersih yang dikutip dari negeri itu.

Menurut Ewon, beliau akan menyampaikan pendirian rasmi itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat depan, selaras dengan usul khas yang diluluskan dalam Konvensyen UPKO Bahagian Penampang hari ini. 

“Saya akan nyatakan pendirian saya dan pendirian rasmi parti dalam mesyuarat Kabinet akan datang. 

“Kami meminta Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan supaya dalam tempoh 180 hari, satu keputusan muktamad dibuat berkenaan pelunasan hak 40 peratus tersebut.

“Sekiranya rayuan tetap difailkan dalam tempoh 30 hari dari sekarang, saya akan meletakkan jawatan daripada Kabinet seperti yang ditetapkan dalam resolusi parti,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang, di sini pada Ahad.

Ewon menegaskan isu 40 peratus bukan sekadar soal pentadbiran atau kewangan, tetapi menyentuh asas dan semangat penubuhan Malaysia yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan soal jawatan. Ini soal prinsip. Mahkamah sudah sahkan ini hak perlembagaan Sabah. 

“Kalau kerajaan tolak atau cabar keputusan itu, maka saya tak boleh terus berada dalam Kabinet. Saya perlu pertahankan prinsip ini,” ujarnya. 

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini mengiktiraf bahawa Sabah berhak menerima 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan daripada negeri itu, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 112C dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ewon turut menjawab kritikan terhadap keputusan beliau dan mantan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Menurut Ewon, saman tersebut hanya ditarik balik hampir setahun selepas beliau dilantik sebagai menteri dan bukan atas desakan politik, sebaliknya selepas wujud kemajuan jelas dalam tuntutan hak Sabah.

Tambahnya, antara pencapaian penting hasil rundingan dengan Kerajaan Persekutuan termasuk pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), peningkatan Pemberian Khas Sabah kepada RM600 juta serta pengiktirafan pembayaran interim sementara isu tuntutan 40 peratus hasil belum dimuktamadkan.

“Kami hanya tarik balik selepas mahkamah membenarkan untuk difailkan semula jika tidak berpuas hati. 

“Kami mulakan tindakan saman ini sebelum NGO lain dan saya bangga kerana usaha ini membawa hasil,” jelasnya.

Ewon turut memaklumkan bahawa beliau secara peribadi meminta kumpulan peguam Sabah Law Society (SLS) untuk meneruskan tindakan undang-undang, walaupun UPKO menggunakan saluran Kabinet untuk memperjuangkan tuntutan yang sama.

“Saya Presiden UPKO hari ini bukan untuk duduk diam. 

“Ini soal kenapa Malaysia ditubuhkan. Saya bersedia lepaskan jawatan demi pertahan hak Sabah, demi prinsip perlembagaan. 

“Itu janji saya kepada rakyat Sabah,” katanya.

Related Posts

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

SARATOK – Sambutan Hari Gawai bukan sekadar acara tahunan bagi meraikan budaya dan warisan masyarakat Dayak, malah ia menjadi lambang perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sarawak. Ahli Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

GERIK – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di kawasan Puncak Gerik, Lebuhraya Timur-Barat (JRTB),…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

PRN Johor tidak gugat Kerajaan Perpaduan, rakyat perlu terima realiti politik baharu

PRN Johor tidak gugat Kerajaan Perpaduan, rakyat perlu terima realiti politik baharu

Pemimpin PH Negeri Sembilan adakan pertemuan, dipercayai bagi bincang pembubaran DUN

Pemimpin PH Negeri Sembilan adakan pertemuan, dipercayai bagi bincang pembubaran DUN

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah