Dr Kjey MBOR
PELATIH kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Dr Kjey’ mencipta sensasi baharu sempena Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Pahang, hari ini.
Majlis HSN yang berlangsung di bandar Lipis itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pagi tadi.
Anak muda dari Lipis, Pahang itu berjaya melengkapkan tiga disiplin kecergasan yang dilakukannya sejak semalam.
Menerusi satu kenyataan, Dr Kjey melengkapkan senaman ‘leg extensions’ sebanyak 3,000 kali dalam tempoh tiga jam.
“Seterusnya, dia berjaya melakukan 3,000 ‘squats’ juga dalam masa tiga jam dan hari ini, Dr Kjey menamatkan cabaran dengan ‘jumping Jacks’ untuk 3,000 kali dalam tempoh 180 minit,” kata kenyataan itu.
Kejayaan itu melayakkan Dr Kjey mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR), melalui wakil rasminya yang mengikuti setiap gerakan kecergasan berkenaan.
Selain pencapaian dan rekod MBOR diperoleh hari ini, Dr Kjey juga pernah menerima pengiktirafan dari luar negara.
Dia merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan padu kepadanya.
“Sudah hampir sepuluh bulan saya mengikuti diet yang sangat ketat, demi mencapai sasaran dan mencipta rekod dalam tiga aktiviti kecergasan ini,” katanya.
Antara yang banyak menyokong usahanya adalah Kerajaan Pahang, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Exco Pahang, Fadzli Mohamad Kamal serta keluarga.


