
TAWAU – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Sabah menyaksikan penyertaan lebih 8,000 rakyat pelbagai daerah, kaum dan usia sekali gus menterjemah konsep Malaysia MADANI melalui program gaya hidup sihat.
Antara program yang berlangsung adalah senamrobik, Kayuhan Ria MADANI sejauh 7.4 kilometer (km), Larian Ria MADANI 5km dan Berjalan Ria MADANI 2km yang bermula seawal 7.30 pagi.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selaras objektif Dasar Sukan Negara iaitu untuk memperkukuhkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi melahirkan masyarakat yang tinggi disiplin dan bersatu padu.
“Sukan bukan saja merupakan platform untuk menerapkan budaya mengamalkan aktiviti bersukan dan riadah dalam kalangan masyarakat, malah ia adalah wadah terbaik untuk menguatkan keterangkuman dan perpaduan dalam kalangan rakyat merentasi garis kaum dan agama.
“Sesungguhnya, program yang dapat melibatkan jumlah penyertaan ramai akan dapat membuka minat rakyat kita untuk sama-sama turun padang melakukan aktiviti yang sihat dan bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin sempena Hari Sukan Negara Peringkat Sabah 2025 di Kompleks Sukan Tawau, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berharap agar Kementerian Belia dan Sukan Sabah terus membangunkan sukan di negeri ini sekali gus mampu melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya juga menyeru agar semua rakyat di negeri ini dapat menggunakan kemudahan sukan yang sedia ada bagi memastikan kecergasan tubuh badan kita sentiasa dapat ditingkatkan.
“Ini akan membantu usaha kerajaan menjadikan sukan sebagai budaya hidup dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan kecergasan.
“Hari Sukan Negara membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengiktiraf kepentingan sukan dalam membentuk masyarakat yang cergas, produktif dan bersatu padu,” ujarnya.







