Belanjawan 2026: Status baharu ASEAN Business Entity tarik pelaburan strategik ke Malaysia

KERAJAAN akan memperkenalkan Status ASEAN Business Entity (ABE) sebagai langkah strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.

Status ABE yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertujuan memudahkan urusan pelaburan bagi syarikat tersenarai awam yang mempunyai jejak pasaran luas di ASEAN, selain memberi laluan kepada syarikat pertengahan yang berpotensi untuk mengembangkan operasi mereka ke peringkat serantau.

Melalui status ini, pelabur akan menikmati kemudahan seperti pemudahcara pergerakan bakat mahir, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia yang sedang melebarkan sayap ke seluruh ASEAN.

Dalam masa sama, kerajaan turut menekankan kejayaan Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal yang diwujudkan di Zon Kewangan Khas Forest City, apabila enam Pejabat Keluarga telah diluluskan dalam tempoh kurang setahun, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah hampir RM400 juta.

Lebih 30 lagi Pejabat Keluarga telah menyatakan minat untuk menyertai skim berkenaan, dan Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai RM2 bilion AUM menjelang penghujung tahun 2026.

Dalam usaha memperhebatkan daya tarikan pelaburan, Investor Pass yang diterajui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah diperkenalkan, menawarkan kemudahan Multiple Entry Visa sehingga 12 bulan kepada pelabur asing yang berpotensi.

Berbeza dengan pendekatan sebelum ini, MIDA kini akan bertindak lebih proaktif dengan menawarkan secara langsung Investor Pass kepada syarikat multinasional serta pelabur dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), tanpa menunggu permohonan diterima.

Kerajaan turut meneruskan pelaksanaan Residence Pass – Talent Fast Track, khusus bagi pelabur strategik untuk membawa masuk bakat berkemahiran tinggi. Proses ini disusun secara pantas dan teratur, termasuk pengecualian syarat pengalaman kerja selama tiga tahun yang sebelum ini diperlukan bagi mendapatkan pas penggajian.

Sebagai tambahan, di bawah Belanjawan 2026, kerajaan komited melaksanakan Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan, selaras dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Kerangka baharu ini memberi penekanan kepada pelaburan dalam aktiviti berpertumbuhan tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan bernilai tinggi, di samping membantu merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Fasa ujian rintis kerangka insentif ini kini sedang berjalan sehingga penghujung tahun 2025. Ia akan mula dilaksanakan sepenuhnya pada suku pertama 2026 bagi sektor perkilangan, sebelum diperluas kepada sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun sama.

Pendekatan menyeluruh yang diperkenalkan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kompetitif, inovatif dan mampan, bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di peringkat serantau dan global.

Related Posts

RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Dakwaan langkah kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan meraih sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tidak dipersetujui…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis tidak terima laporan rumah Orang Asli dibakar

Polis tidak terima laporan rumah Orang Asli dibakar

Enam maut kemalangan kereta, lori satu tan

Enam maut kemalangan kereta, lori satu tan

Rakyat berilah undi pada PH demi kestabilan, pembangunan Negeri Sembilan

Rakyat berilah undi pada PH demi kestabilan, pembangunan Negeri Sembilan

Jawapan buat Asraf Wajdi, peruntukan negeri jelas MB Negeri Sembilan mestilah Melayu Islam

Jawapan buat Asraf Wajdi, peruntukan negeri jelas MB Negeri Sembilan mestilah Melayu Islam

Pas perlu contohi kepimpinan AMANAH – Vigneswaran

Pas perlu contohi kepimpinan AMANAH – Vigneswaran

Jangan jadikan isu institusi diraja sebagai modal kempen pilihan raya – Penganalisis

Jangan jadikan isu institusi diraja sebagai modal kempen pilihan raya – Penganalisis