
KUALA LUMPUR – Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai bukti ketegasan kerajaan dalam mengurus fiskal negara secara berhemat serta komitmen tinggi terhadap pembangunan menyeluruh dan keadilan ekonomi untuk Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, di bawah kepemimpinan Kerajaan MADANI, Malaysia terus menunjukkan keupayaan luar biasa mengurus ekonomi dengan disiplin fiskal yang konsisten.
Menurutnya, defisit fiskal negara berjaya diturunkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024 dan disasarkan mencapai 3.5 peratus menjelang 2026.
“Pencapaian ini membuktikan pentadbiran hari ini berani melaksanakan pembaharuan struktur tanpa menambah beban cukai kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, usaha penambahbaikan tadbir urus dan pelaksanaan subsidi bersasar turut menjimatkan dana negara sebanyak RM15 bilion setahun, manakala hasil rampasan dan penalti oleh SPRM, PDRM dan agensi lain mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Peruntukan meningkat, MA63 direalisasi dengan tindakan
Katanya lagi, Sarawak terus menikmati peningkatan peruntukan pembangunan kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2022, selain pemberian khas meningkat kepada RM600 juta.
Bagi Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2026, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM2 bilion bagi pelbagai bantuan dan pemberian kepada kerajaan negeri.
Antara projek utama di bawah RMK13 ialah pembinaan jalan utama di Kapit, Klinik Kesihatan Mukah, Program Lembu Pedaging, pemerkasaan industri padi dan beras serta Program Residensi Rakyat (PRR) Samariang di Kuching.
Fokus rakyat dan pembangunan digital
Beliau turut menyambut baik kesinambungan peruntukan penaiktarafan Lapangan Terbang Miri di bawah Program Pemerkasaan MAHB dengan pelaburan RM2.3 bilion, serta projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang bakal melonjakkan pembangunan digital di Sarawak dan Sabah.
Belanjawan kali ini juga memperkukuh kebajikan rakyat melalui subsidi bersasar, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), termasuk bantuan sekali bayar RM100 kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas pada Februari depan.
“Belanjawan 2026 membuktikan kerajaan MADANI bukan sahaja menumpukan angka dan defisit, tetapi menzahirkan keadilan ekonomi serta sosial untuk semua. Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya akan memastikan rakyat di Sarawak, khususnya Miri, benar-benar merasai manfaatnya,” katanya.


