
PERUNTUKAN Sabah dan Sarawak yang julung kalinya menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah, masing-masing RM6.9 bilion serta RM6 bilion menerusi Belanjawan 2026 membuktikan Kerajaan MADANI memberi penekanan besar terhadap pembangunan buat dua negeri terbabit,
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemberian khas bagi Sabah serta Sarawak menerusi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga ditingkatkan kepada RM600 juta.
Menurutnya, Belanjawan 2026 juga menumpukan usaha bersama dengan kerajaan akan memfokuskan aspek urus tadbir kewangan dan pemberian manfaat kepada semua pihak, termasuk rakyat dan pelbagai sektor ekonomi.
“Ini membuktikan kerajaan MADANI 2026 memberi penekanan besar terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak, melalui pelaburan strategik dalam tenaga, air, jalan raya, dan digitalisasi.
“Ia antara lain turut menyeimbangkan kestabilan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan kepada aspek tatakelola,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan, tindakan terbabit bagi memastikan tanggungjawab fiskal, berbelanja dengan baik dan menumpukan kepada keprihatinan rakyat dengan setiap penjimatan akan dipulangkan kepada orang ramai.
“Inilah asas kepada keyakinan ekonomi negara. Kita melindungi rakyat hari ini, membina masa depan mapan dan akhirnya mencipta kemakmuran negara. Belanjawan juga menekankan aspek kemampanan iaitu belanja dengan bijak untuk rakyat, urus kewangan negara secara berhemah.
“Ini demi perlindungan masa depan negara, ketelusan dan integriti untuk memacu keyakinan pelabur dan rakyat. Akhirnya, kita akan dapat memastikan konteks ketahanan, iaitu setiap keluarga ada ruang untuk membina semula kehidupan mereka,” katanya
Dalam pada itu, Fadillah berkata, dana bernilai RM2.2 bilion juga diumumkan bagi 43 projek tebatan banjir, membabitkan 12 projek baharu, manakala RM292 juta diperuntukkan bagi pemuliharaan sungai dan sistem pengurusan air lebih mampan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Air, RM1.9 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh grid penghantaran elektrik di Sabah, termasuk subsidi tarif, subsidi bahan api dan projek Southern Link, manakala RM28.6 juta bagi kesiapsiagaan infrastruktur dan tadbir urus tenaga nuklear.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2054 akan terus dipacu pemain industri dengan sokongan Dana Peralihan Tenaga Negara bernilai RM150 juta.
“Projek penjanaan solar berskala besar dilaksanakan dengan kapasiti hampir dua gigawatt di bawah program LSS 6, membabitkan anggaran pelaburan swasta RM6 bilion,” katanya.







