
NASIB aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan semua ahli keluarga akan terus mendapat pembelaan kerajaan Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri untuk tahun ini sudah menyumbang RM1 juta kepada Malaysia International Humanitarian Centre (MIHC) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang mana kewangan berkenaan boleh digunakan untuk membantu yang terjejas termasuk mereka yang terbabit dalam misi kemanusiaan.
“Selain itu, kebetulan kita ada beberapa hotel milik Kerajaan Negeri yang boleh digunakan sebagaimana ketika COVID-19 untuk tujuan kuarantin dan sebagainya.
“Kita sangat terbuka sebagaimana negeri pertama menyahut seruan pembinaan semula Gaza, begitulah juga kita akan sambut mereka.
“Kebetulan mereka akan turun di bumi Selangor iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya selepas meninjau Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di Sepang, malam tadi.
Terdahulu, Amirudin diberi taklimat oleh Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berhubung perkembangan misi membebaskan dan membawa pulang 23 aktivis Malaysia yang kini ditahan Israel semasa menyertai GSF.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan Kerajaan Negeri komited penuh untuk membantu dan memastikan keselamatan serta kebajikan semua delegasi terjamin.



