
PITAS – Golongan belia Sabah yang baru mendirikan rumah tangga bakal menikmati manfaat tambahan dari Kerajaan Negeri, 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap DUN pada tahun depan, berbanding 40 unit pada tahun ini.
“Ianya usaha kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah, khususnya pasangan muda yang masih tinggal bersama keluarga.
“Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tapi tahun ini kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah.
“Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di pekarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, beliau berkata, projek perumahan dan kedai yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) di Kampung Taka dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial di daerah ini.
“Projek ini yang akan didirikan di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB juga mempunyai 171 unit kedai yang terdiri daripada unit kedai atau pejabat dua tingkat, superstore, showroom dan kiosk.
“Saya berharap projek melalui usahasama kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual dan menepati perjanjian yang telah dimeterai sekali gus memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Jelasnya, hal ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
“Penglibatan sektor swasta dalam melaksanakan projek pembangunan turut amat dialu-alukan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan. Ianya juga membolehkan sumber kewangan kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

